Lukisan, Bukan Tulisan

Tulisan ini bukannya tulisan
Tulisan ini adalah lukisan
Lukisan hati
Yang tak mampuku luahkan
Secara lisan

Kerna ku bukannya seorang penyair
Bukan juga seorang pemikir
Tetapi ku hanyalah seorang pelukis
Yang melukis untuk menyatakan rasa hati

Mungkin ku tak punya kekuatan
Untuk menzahirkan
Luahan hati ini
Yang perlukan bantuan
Ya Allah
Bantulah hamba ini

Sekali lagi

Sekali lagi
Aku kembali seperti dahulu
Bahkan mungkin lebih teruk dari itu
Sekali lagi
Aku menjadi seperti itu
Mungkin juga lebih dari itu

Ya Allah
Kurniakan ku teman-teman sejati
Yang mampu melihat aku dalam kelekaan
Yang tahu aku dalam kealpaan
Yang sedar aku masih lupa
Tanpa ku katakannya pada mereka
Untuk membimbingku ke jalanMu
Satu-satunya jalan yang Kau redhai
Ya Allah...Maqbulkan doaku ini
Ameen~~

Terasa...

Seringkali kita katakan
Ya Allah..Aku ikhlas untukMu
Ya Rahman..Aku berserah padaMu
Ya Rahim..Aku segalanya keranaMu

Namun,
Adakah itu yang ada dalam hati kita?
Benarkah itu yang kita fikirkan sentiasa?

Seringkali juga kita katakan
Ya Allah..Aku tunduk dan patuh padaMu
Ya Rabbi..Aku redha dengan segalanya
Ya Azim..Aku akui kehebatanMu

Namun,
Hakikatnya
Adakah kita telah tunduk dan patuh kepadaNya?
Dalam ertikata yang lebih mudah
Sudahkah kita beriman kepadaNya?

Mungkin secara zahir kita katakan
Sepertimana yang ana katakan tadi
Namun
Bagaimanapula secara batin?
Yakinkah kita dengan
Semua Rukun Iman?

Iman kepada Allah
Sudahkah kita meyakiniNya lebih dari yang lain?
Kalau sudah
Mengapa masih perlukan manusia lain lebih dari Allah?
Ibubapa, sahabat handai, pasangan-pasangan, guru-guru, abang-abang, kakak-kakak
Yang lebih memeranjatkan
Ada yang sanggup untuk berkata
"Saya tak boleh hidup tanpa awak/ibu/bapa/abang/kakak"
Sedarkah bahawa Allah lah yang memberi kita nyawa?
Sedarkah bahawa semuanya adalah dariNya?
Termasuklah ibu/bapa/abang/kakak kita..
Tahukah kita apakah maksud kalimah syahadah?
Jika kita tidak dapat berilah kan Allah, maka batal lah kalimah syahadah kita itu..

Iman kepada Rasul
Betulkah kita telah beriman kepada Rasul?
Benarkah?
Jika benar, apa buktinya?
Dimana sunnah Rasulullah yang kita katakan,"kita sayangi"?
Sunnah Baginda yang paling agung
BERDAKWAH
Dimana wahai ikhwah akhawat sekalian?
Benarkah telah beriman kita kepada Baginda?

Iman kepada Malaikat
Kita tahu ada malaikat pencatat amalan kita
Tapi mengapa masih kita bermaksiat?
Mengapa masih kita rasakan seperti kita berseorang ketika kita berseorangan?
Tidak ingatkah kita akan malaikat Raqib dan Atid?
Mereka sentiasa bersama kita
Mencatat amalan baik dan buruk kita
Cukup berimankah kita?

Iman kepada Kitab Al-Quran
Sudahkah kita beriman dengan Al-Quran?
Manual hidup kita?
Jika sudah
Mengapa masih kita tidak membacanya?
Mungkin kita sudah membacanya
Namun, sudahkah kita menghayatinya?
Mungkin juga telah kita hayatinya
Tetapi, sudahkah kita amalkan suruhanNya dalam kitab tersebut?
Apa yang kita masih lakukan
Bukannya mengamalkan suruhanNya
Namun, melanggar suruhanNya dalam kitab agung itu
Inikah yang kita katakan kita telah beriman dengan al-kitab?

Iman kepada Qiamat
Apakah perasaan kita bila diceritakan tentang gambaran Qiamat?
Gerun? Takut? Bertambah taqwa?
Ataupun tiada perasaan? Gembira? Ceria?
Jikalau kita gerun,takut,bertambah taqwa
Maka adakah perbuatan kita sekarang menggambarkan perasaan kita?
Sebaliknya kita terus berlumur dengan dosa
Mungkin kita terasa seperti Qiamat itu sangat jauh
Mungkin juga kita kurang beriman dengan Qiamat
Mungkin juga kita memang tidak percaya bahawa Qiamat itu sudah hampir..
Astaghfirullah al azim~~
Ampuni dosa kami ini..

Iman kepada Qada' dan Qadar
Seringkali ana mendengar ayat ini
"Tak..Bukan apa, nasib/luck aku jek tuh..."
Sedar tak kita bahawa tiada apa yang dikatakan nasib/luck dalam Islam
Semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz
Yang ada hanyalah rezeki sahaja..
Bukannya nasib/luck..

Jadi, sudahkah kita beriman?

Semalam

Semalam ku bertaubat
Janjiku
Takkan ku ulangi salah silapku
Yang terdahulu
Matlamatku
Mencapai kebahagiaan disana nanti
KeredhaanMu

Namun,
Seringkali daku lupa
Ibarat kacang lupakan kulit
Yang tidak sedarkan diri
Bahawa aku berasal dariMu
Juga daripada tanah
Yang setiap hari dipijak-pijak
Daripada air yang hina
Yang jika jatuh ke bumi
Ayam tak patuk itik tak sudu
Yang tiada nilainya disisi manusia

Kadangkala
Bukannya aku tidak tahu
Bukan juga aku lupa
Tetapi aku sengaja melanggar janji-janjiku
Walaupun ku tahu
Bahawa dosaku bertimbun, berlunggun, berkepuk
Mungkin dosaku sebesar rumah banglo
Mungkin juga sebesar bukit
Mungkin juga setinggi Gunung Everest
Mungkin juga seluas langit
Aku tahu
Bahawa Kau tidak menyukai hambaMu yang mungkir janji

Tapi
Mengapa
Mengapa
Mengapa
Ku hanya menurut ajakan syaitan
Melayan hawa nafsuku
Yang tak pernah kenal
Erti puas
Mungkin kerana
Ku tak nampak dosa dan pahala secara zahir
Namun ku tahu
Semua umat terdahulu dibinsakan
Kerana mahu melihat yang ghaib secara zahir
Tapi mengapa juga ku masih tidak sedarkan diri?

Astaghfirullah al azim....
Ampuni daku Ya Allah
Sesungguhnya Kau Maha Penerima Taubat

Susah

Kenapa terlalu susah?
Semalam baru sahaja diisi minyak
Hari ini sudah mahu kering minyak itu
Kenapa begini?
Kenapa susah sangat untuk menjaga kereta ini?
Kenapa susah?

Semalam sudah curaheart
Hari ini pula lupa
Semalam sudah bersemangat
Hari ini pula luntur semangat itu
Mengapa Ya Allah?
Aku tahu
Jalan ini Kau jadikannya susah
Aku tahu Kau sengaja jadikannya sebegini
Untuk mengujiku
Tapi kenapa
Aku masih malas?
Kenapa
Aku masih leka?

Ya Allah, bantulah daku..

Baharu

Dengan semangat baru
Berbekalkan azam baru
Diiringi niat baru

Alang-alang ana nak menjadi baru, ana tukarkan template blog ana menjadi template yang baru.
Moga-moga pabila memandang template baru ini, mengingatkan akan diri yang baru.

Keluar dari kegelapan
Yang menyelubungi
Menuju sinaran itu
Sinaran yang cerah lagi berseri
Bersumberkan cahaya
Dari Yang Maha Esa

Ujian...

Perkara tadi cukup mendugaku
Segala yang telah ku tinggalkan
Datang menyerangku kembali
Seperti segerombolan garuda menyerbu mangsanya
Segalanya bercampur baur
Antara haq dengan batil
Antara ikhlas dengan tidak
Antara betul dengan salah

Lalu ku ambil masa berseorangan
Bermuhasabah diri
Berfikir sejenak
Ya Allah..
Sungguh berat ujianMu ini
Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah
Yang perlukan bantuanMu
Kuasa dariMu
Semangat dariMu
Ya Allah
Bantulah hambaMu yang lemah ini
Sesungguhnya tanpaMu
Siapalah aku

Mengapa?

Mengapa?
keras benar hati ini
pabila dibacakan ayatMu
tidak gentar hatiku

sedangkan firmanMu
orang yang BERIMAN itu
pabila dibacakan ayatKu
maka gementarlah hatinya

adakah ku dikira sebagai beriman?
jika tidak gementar hatiku pabila mendengar ayatMu
ya Allah
berikanku hidayahMu
sesungguhnya Kaulah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang